
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata buat masa ini kementerian melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan mengambil tindakan punitif terhadap Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) supaya ‘mesej jelas’ disampaikan kepada syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, supaya beri perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.
“Berkaitan cadangan untuk hentikan (perkhidmatan aerotrain), kita belum mempertimbangkannya. Ini kerana kita sudah mula (mengambil tindakan terhadap MAHB),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
“Ya, memang berlaku gangguan perkhidmatan, dan kita meminta MAHB memastikan pengeluar peralatan asal memberikan jaminan bahawa mereka akan menyediakan perkhidmatan terbaik. Untuk tempoh tiga bulan terakhir, tiada isu berlaku selama 99% daripada masa operasi.”
Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kementerian akan mempertimbangkan untuk menghentikan perkhidmatan aerotrain susulan kejadian kerosakan yang memalukan semalam, apabila penumpang terpaksa berjalan di atas landasan dalam keadaan gelap sambil mengusung bagasi.
Loke berkata, beliau turut marah dan malu dengan kejadian itu, dan berjanji untuk mengambil langkah punitif serta menuntut pertanggungjawaban daripada MAHB.
“MAHB mesti memastikan kontraktor dipertanggungjawabkan atas kerosakan ini. Kenapa mereka tidak dapat memberikan kualiti perkhidmatan seperti yang dijanjikan, sedangkan perkhidmatan ini masih baharu?” katanya.
Semalam, Loke dilaporkan mengarahkan Apad membuka kertas siasatan terhadap MAHB berikutan beberapa insiden gangguan perkhidmatan baru-baru ini.