
Anak Yazid, Ahmad Ariff Azhari Mohd Yazid, 23, berkata sebelum itu, bapanya dibawa ke sebuah klinik di Paroi Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Setelah sampai di klinik, semasa menunggu (untuk rawatan) ayah ingin ke tandas dan mengalami kekejangan otot dan terus tidak sedarkan diri.
“Pihak klinik melakukan CPR dan kakak saya terus menghubungi ambulans. Ketika tiba di hospital, doktor mengesahkan ayah telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata punca kematian hanya dapat diketahui selepas proses bedah siasat dilakukan dan jenazah akan dikebumikan di Seremban selepas urusan selesai.
Yazid, 57, meninggalkan seorang isteri dan lima anak dengan anak sulung perempuannya bakal melangsungkan perkahwinan pada 1 Nov ini.
Beliau pernah dinobatkan Tokoh Pekerja Negara (Perkhidmatan Awam) sempena sambutan Hari Pekerja 2024.
Semasa penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47, Yazid bertanggungjawab mengetuai persembahan sewaktu Majlis Makan Malam Gala Asean pada Isnin lalu.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Yazid dan berkata pemergian itu merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar turut merakamkan penghargaan atas segala sumbangan serta khidmat bakti beliau dalam mengangkat martabat muzik tradisional negara.