Dilema PSM: Kekal prinsip atau pilih pragmatisme?

Dilema PSM: Kekal prinsip atau pilih pragmatisme?

Penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah Sani kata PSM perlu runding dengan PN untuk tanding kerusi 'selamat' pada PRU akan datang.

michael jayakumar
Dr Michael Jeyakumar Devaraj menang Parlimen Sungai Siput pada 2008 dan 2013 atas tiket PKR tetapi kalah pada PRU seterusnya apabila kerjasama itu berakhir.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) kembali berdepan dilema menjelang pilihan raya – sama ada kekal idealisme sosialis atau memilih langkah lebih pragmatik termasuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia berkata persoalan itu sering timbul setiap kali pilihan raya kerana PSM mempunyai pengaruh terhad berbanding gabungan besar lain.

Kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebelum ini menyaksikan Pengerusi Dr Michael Jeyakumar Devaraj menang kerusi Parlimen Sungai Siput pada 2008 dan 2013 atas tiket PKR.

Bagaimanapun, selepas kerjasama itu berkubur, PSM bertanding solo pada PRU 2018 dan 2022 — namun hasilnya parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.

“Ini persoalan dihadapi PSM setiap kali menjelang PRU: sama ada mahu berpegang pada prinsip atau menjadi lebih pragmatik.

“Persoalan yang lebih penting adalah sama ada langkah ke arah pragmatisme itu benar-benar akan membawa hasil seperti yang diharapkan,” kata Asrul kepada FMT.

Asrul berkata, jika PSM memilih menjalin kerjasama dengan PN, parti itu perlu berunding untuk bertanding satu kerusi Parlimen ‘selamat’ pada PRU akan datang bagi mengelak dipinggirkan dalam gabungan terbabit.

“PN mesti beri jaminan satu kerusi Parlimen selamat untuk PSM sekiranya mahu parti itu pertimbangkan kerjasama.

“Jika tidak, PSM berisiko menjadi seperti Gerakan dalam PN — wujud tetapi tidak relevan secara politik.”

Namun, Asrul berpandangan PSM lebih baik menumpukan usaha membina hubungan rapat dengan kumpulan dan parti politik lain di luar gabungan utama.

“Hubungan sebegitu memberi lebih ruang untuk perkongsian nilai dan perkembangan bersama,” katanya.

PSM pada awalnya enggan menyertai gabungan pembangkang longgar diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dua bulan lalu, kerana tidak selesa dengan kecenderungan retorik perkauman beberapa parti dalam kumpulan itu.

Antara parti dalam gabungan itu ialah PAS, Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, Urimai, Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Minggu lalu, Exco PSM Perak K Kunasekaran menyokong pakatan dicadangkan itu dengan alasan ia dapat mengelakkan pertembungan antara parti pembangkang dalam pilihan raya.

Beliau menegaskan kerjasama seperti itu tidak akan menjejaskan idealisme sosialis parti.

Jeyakumar berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata, PSM berkemungkinan terpaksa berkompromi dengan prinsip sosialisme mereka kerana pendirian ideologi parti itu sangat berbeza dengan pendekatan Melayu-Islam dibawa PAS dan Bersatu.

Namun, beliau mengakui PSM mungkin mendapat manfaat politik daripada kerjasama itu memandangkan bertanding solo hampir pasti membawa kekalahan besar di peti undi.

“Setakat ini, PSM tidak ke mana-mana. Mereka belum menunjukkan potensi untuk menjadi parti yang mampu mempengaruhi senario politik negara. Jadi, ini akan menjadi keputusan yang sangat sukar untuk dibuat,” katanya.

Azmi berkata, PSM pasti sukar mewajarkan kerjasama rasmi kepada penyokong terasnya dan mungkin perlu berpuas hati dengan ‘persefahaman longgar’ berkaitan pembahagian kerusi.

“PSM memerlukan sokongan PN, bukan sebaliknya…kerana penyokong PSM agak terhad dan tertumpu di satu atau dua kawasan Parlimen sahaja,” katanya.

Azmi berkata, satu lagi pilihan boleh diteroka PSM ialah menjalinkan semula hubungan lama dengan PH, yang menurutnya lebih selaras dengan prinsip sosialis parti itu.

“Malah, Umno pun kini berada di landasan tengah dan kurang ekstrem berbanding PAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.