Bentang isi penuh perjanjian dagangan AS, kerajaan digesa

Bentang isi penuh perjanjian dagangan AS, kerajaan digesa

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan berkata timbul persoalan sama ada negeri masih bebas tentukan dasar sendiri atau terikat kepada komitmen antarabangsa.

ree
Kelantan, Terengganu dan Kedah mempunyai sumber nadir bumi yang banyak, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Fadzli Hassan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Kelantan menggesa Putrajaya membentangkan isi penuh perjanjian perdagangan dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini di Parlimen serta Majlis Tanah Negara.

Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan, berkata persoalan timbul sama ada negeri masih bebas menentukan dasar sendiri atau terikat kepada komitmen antarabangsa terutamanya apabila penetapan bahawa tiada sekatan atau kuota terhadap eksport unsur nadir bumi (REE) ke AS berlaku.

“Bagaimana jika Kelantan mahu menapis pelabur atau menghadkan eksport bahan mentah demi menjamin nilai tambah tempatan. Adakah langkah itu akan dianggap melanggar komitmen antarabangsa seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian tersebut?

“Ini bukan soal politik tapi kedaulatan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata perjanjian menyentuh hasil bumi negeri dibuat tanpa rundingan dengan negeri-negeri pengeluar secara langsung menyimpang daripada semangat federalisme dan menafikan hak negeri.

“Rakyat Kelantan masih menanggung luka akibat kehilangan hasil royalti petroleum. Itu adalah antara ketidakadilan terbesar yang telah dilakukan terhadap rakyat dan kerajaan negeri Kelantan. Adakah sejarah dan episod luka ini akan berulang?

“Kami tidak menolak pelaburan luar namun semuanya mesti dilakukan secara telus dan menghormati hak negeri. Sumber negeri tidak boleh dijadikan cagaran politik atau bahan tawar menawar diplomatik,” katanya.

Tambahnya, rundingan khas perlu dilakukan bersama semua negeri pengeluar sebelum sebarang dasar atau pemberian lesen.

26 Okt lalu, Malaysia dan AS memeterai satu perjanjian perdagangan timbal balas yang komprehensif, menyasarkan pengukuhan hubungan ekonomi dua hala, peluasan akses pasaran serta pemerkasaan daya tahan rantaian bekalan.

Di bawah Perjanjian Tarif Timbal Balik Malaysia-AS, Malaysia berikrar menyediakan akses pasaran keutamaan yang signifikan bagi eksport barangan industri AS, termasuk bahan kimia, jentera, dan peralatan elektrik, logam, dan kenderaan penumpang, serta bagi eksport pertanian seperti produk tenusu, ayam itik, dan beras.

Sebaliknya, AS akan mengekalkan tarif timbal balik 19% ke atas barangan Malaysia, dengan produk tertentu menerima kadar tarif 0% di bawah senarai rakan kongsi yang bersekutu.

Malaysia juga akan mengelak daripada mengharamkan atau mengenakan kuota ke atas eksport mineral kritikal atau unsur nadir bumi ke AS dan akan bekerjasama dengan firma Amerika ‘bagi mewujudkan kepastian bagi perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.