
Zamil Ibrahim, 58, serta dua lagi tertuduh, Jamal Muhaideen Mohmad Hussin, 41, dan Muhammad Redza Adzmi, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan niat secara rasuah meminta suapan RM400,000 daripada pendakwah bebas berkenaan sebagai dorongan kononnya bagi membantu menyelesaikan siasatan polis ke atas kes pengubahan wang haram berkait sebuah yayasan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi sebuah hotel di Sungai Petani pada jam 9 malam 4 November tahun lalu.
Mereka secara bersama turut didakwa dengan niat secara rasuah bersetuju menerima suapan RM20,000 daripada pendakwah itu sebagai dorongan membantu menyelesaikan siasatan polis ke atas kes pengubahan wang haram berkait yayasan berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pekarangan Masjid Al-Khairiyah Bedong, Kuala Muda, kira-kira jam 12.30 tengah hari 5 November tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid mengendalikan pendakwaan manakala Zamil serta Jamal Muhaideen diwakili peguam, Aiman Abdul Rahman dan Muhammad Redza diwakili Ganesan Subramaniam.
Terdahulu, Ahmad Fariz mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh namun dibantah peguam tertuduh dengan alasan ia terlalu tinggi selain anak guam mereka memberi kerjasama penuh terhadap siasatan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Semua tertuduh itu kemudian membayar jaminan terbabit.