Pengurus pajak gadai dalang rompak barang kemas RM5.7 juta

Pengurus pajak gadai dalang rompak barang kemas RM5.7 juta

Wanita itu bersama teman lelakinya dipercayai merancang merompak kedai pajak gadai lokasi dia bekerja pada minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat menunjukkan wang tunai dan barangan yang dirampas daripada suspek kes rompakan kedai pajak gadai di Pasir Mas minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita yang juga pengurus sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, Kelantan ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang utama rompakan barang kemas bernilai RM5.7 juta di premis itu pada minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan bersama teman lelakinya dan lima pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan.

“Semua suspek berusia 26 hingga 66 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Rawang,” katanya lapor Bernama.

Yusoff berkata polis menerima laporan rompakan di kedai pajak gadai itu kira-kira 1 tengah hari, 21 Okt lalu.

Dalam kejadian itu, suspek lelaki menyembur cecair pembasmi kuman dan mengacukan pisau terhadap pelanggan di premis berkenaan sebelum membawa keluar 10.9kg barang kemas bernilai RM5.7 juta yang disimpan di dalam peti besi.

Katanya, hasil siasatan awal menunjukkan kejadian itu dirancang dengan teliti oleh pengurus terbabit bersama teman lelakinya.

Menurutnya, susulan kejadian itu polis membuat serbuan pertama pada hari kejadian dan menahan empat wanita serta seorang lelaki yang juga pekerja termasuk pengawal keselamatan.

“Serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Rawang, Selangor, sebelum menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas dua bilah pisau, cecair pembasmi kuman serta sejumlah wang tunai.

“Berpandukan maklumat suspek, polis kemudian melancarkan serbuan ketiga di sebuah rumah di Kota Bharu pada Sabtu lepas dan menemukan 933 plastik berisi barang kemas bernilai RM5.7 juta,” katanya.

Yusoff berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan pengurus wanita berkenaan serta pemilik rumah terbabit.

Beliau berkata semua suspek kini direman hingga Khamis, manakala siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.