
Razali berkata perbalahan dan serangan sesama sendiri hanya akan memburukkan imej parti serta menjejaskan peluang PN menguasai semula kerajaan Sabah.
“Saya minta semua yang sayangkan Bersatu adakan gencatan senjata. Kita kena fokus kepada PRN Sabah kerana pilihan raya ini sangat penting.
“Kita mahu ambil semula kerajaan negeri, Kalau kita bergaduh, orang Sabah pun akan benci kita,” katanya kepada FMT.

Beliau yang mengulas tindakan Bersatu Dungun yang baru-baru ini menggesa Presiden Muhyiddin Yassin berehat dan Setiausaha Agung Azmin Ali digugurkan, susulan pertikaian terbuka dalam parti.
Ketua Bersatu Dungun Abdul Aziz Ismail mendakwa masalah dalaman parti berpunca daripada beberapa individu yang dianggap tidak lagi relevan dalam pentadbiran Bersatu.
Pada 20 Okt lalu, Bersatu Dungun meluluskan tiga usul utama — termasuk menyarankan Muhyiddin berehat, Azmin melepaskan jawatan, dan menggantikan Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz dengan individu yang lebih proaktif.
Bagaimanapun, Razali menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima penjelasan rasmi berhubung usul itu dan menegaskan hanya usul yang dibawa melalui saluran sah mengikut perlembagaan parti boleh diterima.
“Saya difahamkan usul itu dibuat oleh jawatankuasa bahagian, sedangkan usul sepatutnya datang daripada mesyuarat cawangan dan dibawa ke mesyuarat khas bahagian. Setiap usul ada tertibnya dalam perlembagaan parti,” katanya.
Razali berkata pihaknya akan menunggu laporan rasmi daripada Bersatu Dungun sebelum meneliti perkara itu di peringkat negeri.