Timor-Leste bawa pengalaman pascakonflik pada Asean, kata Gusmao

Timor-Leste bawa pengalaman pascakonflik pada Asean, kata Gusmao

Perdana menteri Timor-Leste berkata pengalaman negara itu berdepan konflik boleh menyumbang kepada Asean dalam menangani krisis di Myanmar.

Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao sebelum ini adalah ketua gerakan kemerdekaan ketika penjajahan Indonesia dan menjadi presiden pertama negara itu.
KUALA LUMPUR:
Kemasukan Timor-Leste ke dalam Asean sebagai anggota ke-11 disifatkan sebagai langkah simbolik dan strategik yang mengukuhkan sifat inklusif serta kedudukan serantau blok itu.

Perdana Menteri Xanana Gusmao berkata perjalanan panjang negaranya daripada konflik kepada kestabilan memberi Timor-Leste perspektif unik yang boleh menyumbang kepada usaha pembinaan keamanan Asean, khususnya ketika rantau ini terus berdepan krisis Myanmar.

“Negara kami pernah melalui konflik sebelum ini, dan kami tahu bahawa jalan terbaik ke hadapan ialah melalui keamanan dan dialog.

“Timor-Leste bersedia menyertai inisiatif rundingan, berpegang kepada prinsip dan tanggungjawab bersama Asean,” katanya pada sidang media di mesyuarat sidang kemuncak Asean.

Gusmao berkata Timor-Leste menyertai Asean bukan untuk ‘mendapatkan manfaat tetapi untuk berkongsi pengalaman’.

Beliau yakin penyertaan negaranya akan mengukuhkan peranan kepusatan Asean dan membantu memastikan tiada negara di Asia Tenggara yang ketinggalan.

Mengulas keanggotaan Timor-Leste, penganalisis politik Joanne Lin dari Institut ISEAS–Yusof Ishak Singapura bersetuju bahawa penyertaan negara itu menambah satu lagi suara dalam proses membuat keputusan berasaskan konsensus yang sudah kompleks.

Bagaimanapun, katanya ia juga membawa pengalaman berharga dalam pemulihan pascakonflik dan peralihan demokrasi.

“Saya percaya proses integrasi institusi Asean akan mengambil masa, namun proses itu sendiri mencerminkan kepercayaan Asean bahawa tiada negara di Asia Tenggara harus ditinggalkan ketika kerjasama serantau semakin mendalam.”

Beliau menambah keanggotaan Timor-Leste merupakan pengesahan kukuh terhadap komitmen Asean terhadap keterangkuman dan identiti serantau.

“Menerima anggota kecil dan sedang membangun adalah tindakan solidariti dan ujian kepada model pembinaan kapasiti Asean.

“Keanggotaan Timor-Leste dapat meningkatkan lagi legitimasi Asean dalam berinteraksi dengan rakan dialognya, kerana banyak pihak — dari Kesatuan Eropah (EU) hingga Australia dan Jepun — telah lama menyokong kemasukan negara itu dan melihatnya sebagai pencapaian kestabilan penting bagi rantau ini.”

Timor-Leste secara rasmi menyertai Asean hari ini, menjadi anggota ke-11 blok tersebut, menandakan kemuncak lebih sedekad usaha untuk menyertai pertubuhan serantau itu.

Negara bekas jajahan Portugal itu, memperoleh kemerdekaan pada Mei 2002 selepas beberapa dekad di bawah penjajahan Indonesia, memohon keanggotaan Asean pada 2011 dan diberikan status pemerhati pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.