
Syahruddin Awang Ahmad berkata isu itu termasuk kontroversi membabitkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan yang mengilhamkan blok politik baharu bersama Parti Maju Sabah (SAPP).

Menurutnya, walaupun veteran politik itu dikenali sebagai pejuang hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rekod perpindahan politik serta isu integriti kewangan dibangkitkan pihak tertentu boleh menimbulkan keraguan di kalangan parti lain.
Sebagai rekod, Kitingan pernah menganggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Akar, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PKR sebelum STAR.
“Langkah beliau membawa STAR keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk meneruskan kerjasama baharu dan mahu menubuhkan GBS menunjukkan satu lagi episod kompleks dalam landskap politik Sabah.
“Ia mungkin strategi untuk STAR kekal relevan, tetapi pada masa sama mencerminkan cabaran membentuk penyatuan politik stabil,” kata penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES) itu kepada FMT.
Syahruddin turut menambah keadaan itu juga mungkin berlaku kerana semua pemimpin mahu menjadi ketua seperti diakui Kitingan, Rabu lalu.
Kitingan mengumumkan penubuhan GSB untuk menghimpunkan parti tempatan yang komited membentuk kerajaan berdasarkan wawasan ‘Sabah for Sabahan’.
Namun pada masa menyatakan keterbukaan bekerjasama dengan parti dari Semenanjung Malaysia selepas PRN demi menjamin kestabilan politik.
Beliau turut mendakwa sudah berbincang dengan beberapa pemimpin parti tempatan termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menunjukkan minat untuk menyertai blok baharu itu.
Namun Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda menafikannya dan menegaskan parti itu akan bertanding solo.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpandangan perpecahan di kalangan parti tempatan bukan semata-mata berpunca daripada perbezaan dasar, tetapi lebih kepada persaingan identiti dan keinginan mendominasi.
“Walaupun semua pihak mendakwa mahu memperkukuh suara politik Sabah, realitinya matlamat itu sering ditafsir mengikut kepentingan masing-masing.
“Dalam kes STAR dan SAPP misalnya, ego politik dan keinginan menjadi ‘hero’ menjadi penghalang utama,” katanya.
Menurutnya, struktur politik Sabah yang berbilang etnik dan berpecah kepada pelbagai blok kecil turut menjadikan usaha penyatuan lebih rumit kerana memerlukan keseimbangan wakil serta lambang politik.
Bilcher menambah, faktor personaliti dan perebutan pengaruh memainkan peranan besar dalam mengekang pembentukan blok politik tunggal di Sabah.
“Politik Sabah sangat bergantung kepada karisma pemimpin. Apabila setiap tokoh mahu menjadi pusat pengaruh, kompromi kuasa dianggap ancaman, bukan peluang.
“Selagi budaya politik berasaskan dominasi individu dan bukannya kerjasama kolektif tidak diubah, gagasan seperti GBS akan terus terbantut,” katanya.