
Ketua Penerangan Nizam Abu Bakar Titingan berkata Tei yang cuba menggambarkan dirinya sebagai pemberi maklumat namun banyak tindak tanduknya telah menimbulkan persoalan seperti dakwaan pemalsuan dokumen sebagai jalan pintas mendapat kelulusan lesen.
Menurut Nizam, Tei juga didakwa telah memohon lesen mencari gali melalui lebih 20 syarikat berbeza membabitkan kawasan seluas hampir satu juta ekar yang disifatkan sebagai cubaan menguasai hasil bumi Sabah secara senyap.
“Apabila seorang individu telah menggunakan 20 syarikat untuk memohon lebih daripada 20 lesen lombong cari gali mineral, sudah pasti orang merasa hairan dan tertanya-tanya,” katanya kepada FMT.
Nizam yang juga pembantu menteri kepada ketua menteri interim itu berkata audit dalaman turut mendapati wujud pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kuasa dalam Sabah Mineral Management (SMM) yang dikaitkan dengan Tei.
Menurutnya, penemuan terbabit mengakibatkan bekas ketua pegawai eksekutif SMM, Jontih Enggihon, yang dipercayai membantu Tei dalam urusan permohonan lesen itu, telah ditamatkan perkhidmatan.
“Jadi inilah sebenarnya berlaku iaitu skandal perlombongan Tei bukan dilakukan kerajaan.
“Beliau dalang sebenarnya dalam skandal lombong mineral di Sabah,” tegas penyandang DUN Apas itu sebelum DUN Sabah dibubarkan 6 Okt lalu.
Nizam mendakwa kegagalan Tei mendapatkan kelulusan lesen itu menyebabkan beliau menukar strategi kepada serangan persepsi, termasuk mencipta naratif kononnya dirinya menjadi mangsa politik.
Dalam sebuah program audio siar disiarkan Selasa lalu, Tei mendakwa pelaburan perlombongan mineral di Sabah satu penipuan besar atau ‘scam’ didalangi ahli politik negeri itu.
Dakwanya, lesen cari gali kononnya dikeluarkan untuk mengaut keuntungan melalui hubungan politik, bukan berdasarkan merit syarikat.
Hajiji bebas sebarang salah laku
Namun Nizam menegaskan, video perbualan antara Tei dengan beberapa pemimpin politik yang disebarkan sebelum ini membuktikan tiada sebarang salah guna kuasa oleh kerajaan Sabah atau Ketua Menteri (interim) Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah dan propaganda licik ahli perniagaan itu yang disifatkannya sebagai ‘terdesak menutup pekung sendiri’.
Tei sebelum ini cuba menonjolkan diri sebagai ‘pemberi maklumat’ (whistleblower) terhadap dakwaan salah guna kuasa dalam sektor mineral Sabah.
Namun, beliau berdepan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM350,000 di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, melibatkan cubaan menyogok dua bekas Adun — Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin) — bagi mendapatkan lesen mencari gali mineral di Sabah.
Tei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 — mengikut mana lebih tinggi.
Kerajaan negeri sebelum ini menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh berhubung skandal perlombongan mineral tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, telah mengesahkan bahawa Hajiji Noor bebas daripada sebarang salah laku.