
Pengarah syarikat elektronik Azhar Mat Taib, 59, dan isteri Zuzian Mahmud, 59, didakwa bersama-sama memperdagangkan mangsa berusia 47 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada wanita itu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kota Perdana, Seri Kembangan, pada 19 Okt lepas.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 13(a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri mencadangkan jaminan RM20,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin manakala peguam GS Gabriel yang mewakili pasangan itu memohon jaminan pada kadar minimum dengan alasan Azhar yang juga pesakit jantung perlu menanggung tiga anak selain Zuzian yang juga suri rumah mengalami slip disc.
Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan cadangan pihak pendakwaan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu atau mendekati saksi pendakwaan, selain menetapkan 28 Nov untuk serahan dokumen.