
Peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, walaupun Shahrol melakukan salah laku serius dan mempunyai kebolehpercayaan yang diragui, pihak pendakwaan masih mahu mahkamah menerima kenyataannya, khususnya dakwaannya bahawa “semuanya mendapat restu Najib”, yang hanya berdasarkan khabar angin kononnya daripada Low.
Wan Azwan menyorot beberapa salah laku Shahrol, termasuk menyembunyikan maklumat penting daripada pengetahuan BOD 1MDB dan menteri kewangan, menjalinkan surat-menyurat rahsia dengan Low, serta menandatangani minit mesyuarat bersama Najib yang beliau sendiri tahu tidak pernah diadakan.
“Beliau menerima arahan terus daripada Low melalui surat-menyurat rahsia yang kemudiannya dimusnahkan dan menyerahkan rundingan utama dengan Goldman Sachs dan International Petroleum Investment Co, sepenuhnya kepada ahli perniagaan dalam buruan itu.
“Shahrol juga menandatangani perjanjian untuk meningkatkan hutang sebanyak USD1.75 bilion tanpa membaca keseluruhan dokumen, sebaliknya hanya bergantung pada muka surat tandatangan,” katanya semasa perbicaraan Najib berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Peguam itu berkata seorang lagi individu yang mempunyai kaitan dengan Low ialah bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, yang bertanggungjawab menyediakan ‘Circular Resolution’ bagi pengeluaran bon bernilai USD1.75 bilion oleh 1MDB Energy (Langat) Limited, untuk tujuan membiayai pengambilalihan Mastika Lagenda Sdn Bhd.
“Loo, rupa-rupanya bukanlah ‘wanita dalam kesusahan’ seperti yang ingin digambarkannya. Beliau gagal melaksanakan carian korporat mudah terhadap Petrosaudi International Ltd, yang jelas menunjukkan kegagalan itu bukan satu kelalaian, tetapi tindakan yang disengajakan.
“Beliau juga merupakan bekas pelarian yang pernah melarikan diri ke Myanmar dan mendapat sokongan daripada Low sendiri,” katanya, sambil menegaskan bahawa tahap pengabaian terhadap pelbagai amaran jelas mengenai kredibiliti saksi pendakwaan amat membimbangkan.
Pihak pembelaan kini sedang mengemukakan hujah berhubung pertuduhan kedua yang dihadapi Najib di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya sendiri berjumlah RM90,899,927.28, termasuk meluluskan pengambilalihan ekuiti Mastika Lagenda Sdn Bhd pada harga keseluruhan sehingga RM2.75 bilion, serta meluluskan 1MDB untuk mengeluarkan Nota Pinjaman Berstruktur 10 tahun bernilai USD1.75 bilion.
Pada 6 Mei, pihak pembelaan Najib menutup kes selepas memanggil 26 orang saksi, dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 21 Okt untuk hujahan lisan.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai suapan, di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sebanyak lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013. Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International.
Mahkamah Tinggi pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Namun, petisyen pengampunan diraja yang difailkan beliau pada 2 Sept 2022 membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Perbicaraan akan bersambung pada 27 Okt.