Tiada arak di sekolah, kata Anwar

Tiada arak di sekolah, kata Anwar

Perdana menteri berkata KPM sedang semak semula peraturan mengenai perkara itu.

drinking
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulas soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mengenai majlis makan malam perjumpaan semula alumni sebuah sekolah di Ipoh, di mana arak didakwa dihidangkan. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan arak tidak boleh dihidangkan di sekolah, termasuk dalam acara diadakan di premis sekolah walaupun selepas waktu kelas tamat.

Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar berkata Kementerian Pendidikan sedang menyemak semula peraturannya mengenai perkara tersebut.

“Bagaimana kalau sekolah itu sekolah swasta, itu ada masalah sikit…(kena) lihat setakat mana bidang kuasa kerajaan.

“Tetapi, kalau sekolah milik kerajaan, saya tidak fikir kita harus melanggar prinsip-prinsip (nilai dan moral) ini.”

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) mengenai arak yang didakwa dihidangkan pada majlis makan malam perjumpaan semula baru-baru ini, dianjurkan alumni sebuah sekolah di Ipoh.

Ahli Parlimen PAS itu berkata, walaupun pelajar tidak terlibat, penganjur acara membenarkan arak dibawa masuk ke dalam premis sekolah, yang menurutnya melanggar garis panduan Kementerian Pendidikan.

Fadhli turut menggesa kerajaan mengambil ‘pendirian tegas’ mengenai perkara itu dan memastikan tindakan segera diambil terhadap mana-mana pihak yang membawa arak masuk dalam sekolah.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata timbalan pendakwa raya boleh mempertimbangkan untuk mengurangkan pertuduhan dikenakan terhadap dua guru di Pulau Pinang, didakwa merotan seorang pelajar dua tahun lalu, sekiranya mereka menganggapnya sebagai kesalahan ‘ringan’.

Anwar menjawab soalan tambahan diajukan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai sama ada timbalan pendakwa raya akan mempertimbang menggugurkan pertuduhan terhadap guru berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.