Rizal Salleh dilantik timbalan NC akademik dan antarabangsa UTeM

Rizal Salleh dilantik timbalan NC akademik dan antarabangsa UTeM

Pelantikan bekas dekan Sekolah Pengajian Siswazah bagi mengisi jawatan dikosongkan Zulkifilie Ibrahim yang bersara wajib baru-baru ini.

Rizal Salleh
Mohd Rizal Salleh, 58, memulakan kerjaya di UTeM pada 1 April 2022.
PETALING JAYA:
Mohd Rizal Salleh dilantik sebagai timbalan naib canselor (akademik dan antarabangsa) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 21 Okt lalu.

Pelantikan bekas dekan Sekolah Pengajian Siswazah itu bagi mengisi jawatan dikosongkan Zulkifilie Ibrahim yang bersara wajib baru-baru ini.

Dalam kenyataan, UTeM berkata pelantikan itu mendapat persetujuan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Rizal, 58, memiliki ijazah sarjana kejuruteraan mekanikal dari Tokushima University, Jepun, pada 2000 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan sistem di Brunel University, United Kingdom pada 2007.

Beliau berpengalaman lebih enam tahun dalam bidang perindustrian dengan menjawat jawatan penting di beberapa syarikat industri antaranya TKR (M) Manufacturing Sdn Bhd dan Tractors Malaysia.

Memulakan kerjaya dalam bidang akademik sebagai pensyarah di UTeM bermula 1 April 2022 dan sepanjang karier di situ, Rizal mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan.

Beliau sememangnya berpengalaman luas dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran universiti, pernah menyandang jawatan dekan selama lebih 15 tahun di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Sekolah Pengajian Siswazah UTeM bermula 2009 sehingga kini.

Rizal yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan pembuatan terutamanya pengkhususan ‘lean manufacturing’ dan kejuruteraan industri ini turut bergiat aktif dalam penulisan jurnal dan prosiding bertaraf antarabangsa.

“UTeM turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Zulkifilie atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dengan UTeM,” menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.