Anwar, Modi bincang hasrat perkukuh hubungan Malaysia-India

Anwar, Modi bincang hasrat perkukuh hubungan Malaysia-India

Perdana menteri menyuarakan hasrat itu menerusi panggilan telefon diterima malam tadi daripada rakan sejawatnya Perdana Menteri India Narendra Modi.

Anwar Ibrahim Narendra Modi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata India kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan selain kerjasama erat dalam sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia dan India berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hasrat itu dizahirkan menerusi panggilan telefon yang diterima malam tadi daripada rakan sejawatnya Perdana Menteri India Narendra Modi bagi membincangkan usaha berkenaan.

“India kekal sebagai rakan penting Malaysia di lapangan perdagangan dan pelaburan selain kerjasama erat dalam sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X hari ini.

Selain itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata perbincangan bersama Modi turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Beliau berkata Modi akan menghadiri sidang kemuncak itu secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu.

“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India.

“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India dan meningkatkan lagi kerjasama Asean-India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.