
Beliau tidak menolak cadangan itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau bersama kumpulan penyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin bersedia menyertai PAS sebagai alternatif jika kemelut kepimpinan dalam parti itu sukar diselesaikan.
“Boleh (sertai PAS). ‘Unequivocal’ dengan cadangan tersebut, maksudnya ia sebagai ‘option’,” katanya dalam episod The Zaid Ibrahim Podcast.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, yang digantung keahlian parti selama satu penggal, berpandangan bahawa ahli Bersatu perlu melakukan pembetulan semula secara kolektif bagi memulihkan kepercayaan rakyat, sekali gus mengembalikan perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa penggantungannya berpunca daripada masalah politik dalaman yang telah lama berlaku, termasuk tindakannya mengkritik secara terbuka proses pemilihan parti yang menurutnya ‘terlalu kotor’ serta banyak berlaku ‘silap mata’.
Tambahnya, beliau turut sebelum ini menegur di media sosial tindakan beberapa pemimpin menjalankan program jelajah dengan membelakangi timbalan presiden.
“Saya digantung sebab saya bantah perjalanan pemilihan. Saya menegur secara beradab beberapa perkara di media (sosial) dengan mengajukan soalan, apabila dibuat satu (program) jelajah Bersatu, tak jemput timbalan presiden … yang pergi setiausaha agung dan naib-naib presiden.
“Tidak ada pemakluman dalam mesyuarat MPT tentang program parti yang bersifat nasional,” katanya.
Selain itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendedahkan bahawa usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 juga tidak dipersetujui oleh majoriti ketua bahagian Bersatu.
Beliau berkata, tindakan sedemikian dilihat mendahului PAS, tidak menjaga sensitiviti rakan kongsi dalam PN.
“Dalam keadaan Bersatu paling lemah … Bersatu amat bergantung ihsan PAS di kawasan masing-masing. Jadi kita perlu menghormati dan memahami sensitiviti PAS,” katanya.
Beliau menambah, fokus harus diberikan terlebih dahulu untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya, bukan siapa ‘poster boy’.