
Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata, perkara itu diketahui susulan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek berusia 25 tahun itu.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan motif sebenar suspek melakukan perbuatan tersebut.
“Hasil soal siasat dilakukan, suspek ini memberitahu dia minat pada mangsa,” kata Christopher, lapor Kosmo.
“Bagaimanapun sama ada dia melibas mangsa kerana remaja itu menolak cintanya masih dalam siasatan.”
Dilaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal kira-kira 4.45 petang semalam.
Christopher sebelum ini berkata, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu mengalami luka sepanjang kira-kira 7cm di bahagian pinggang belakang.
Tambahnya, mangsa dari Tangkak, Johor itu mendakwa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa atau mengenali individu yang disyaki terlibat.
Susulan kejadian, suspek ditahan di rumahnya di sekitar Tangga Batu pada 11 malam tadi selepas mengaku melakukan perbuatan itu dan menunjukkan sebilah pisau sepanjang kira-kira 27cm yang dipercayai digunakan dalam serangan.