
Baginda bertitah cadangan melanjutkan operasi dari 10 malam ke 12 tengah malam waktu Malaysia— perlu diperhalusi melalui rundingan bersama Pejabat Gabenor Wilayah Songkhla, Datuk Bandar Daerah Sadao serta pegawai Sub-Daerah Padang Besar, Thailand.
Tuanku Syed Faizuddin menegaskan, inisiatif itu harus dirancang secara teliti dan komprehensif sebagai persediaan jangka sederhana dan panjang supaya memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak tanpa mengabaikan keselamatan dan undang-undang negara.
“Ia diharap dapat membantu usaha menyuraikan kesesakan trafik khususnya semasa cuti hujung minggu, perayaan dan musim cuti persekolahan.
“Langkah itu juga dapat memperkasakan aktiviti ekonomi mahupun pelancongan terutama di kawasan sempadan itu,” titahnya selepas merasmikan majlis promosi masakan Perlis di Janda Baik, Bentong.
Turut berangkat Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Pada Mac 2024, kerajaan Perlis mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya ICQS Padang Besar dapat beroperasi hingga 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini.
Cadangan itu sebagai usaha meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Perlis selain merancakkan sektor pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin dalam program terbabit turut mempromosikan ‘Kurma Daging Perlis’ sebagai simbol warisan kulinari negeri.
Usaha mengangkat hidangan itu sehingga ke peringkat nasional dan antarabangsa dibuat dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).
Raja Muda Perlis turut berkenan mengurniakan buku ‘Perlis Food Promotion’ iaitu koleksi kembara dan usaha Baginda melancarkan serta mempromosi masakan ‘Kurma Daging Perlis’ ke pelbagai restoran dan hotel di dalam dan luar negara.