Anwar ulangi kerajaan tak campur tangan keputusan komersial

Anwar ulangi kerajaan tak campur tangan keputusan komersial

Beliau berkata ia adalah komitmen pentadbirannya untuk mengekalkan ketelusan dan profesionalisme dalam landskap korporat dan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam sesi dialog di Forum Ilmu Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2025. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan komersial untuk mendukung integriti pasaran.

Beliau berkata, ia adalah komitmen pentadbirannya untuk mengekalkan ketelusan dan profesionalisme dalam landskap korporat dan ekonomi Malaysia.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, keputusan perniagaan perlu didorong oleh merit, kecekapan serta realiti pasaran dan bukannya oleh pengaruh politik.

“Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersil, dan tidak seorang pun daripada rakan Kabinet saya yang sepatutnya campur tangan.

“Sudah tentunya kita menyokong teknologi baharu, inisiatif hijau, dan program kebajikan, tetapi kita tidak campur tangan dalam melindungi kepentingan diri atau peribadi.

“Keputusan komersial adalah milik anda sepenuhnya,” katanya semasa sesi dialog di Forum Ilmu Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2025.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan memperkenalkan beberapa langkah dasar utama untuk mengukuhkan pelaburan domestik, termasuk inisiatif seperti program ‘Gear-Up’.

Selain itu, kerajaan juga menyelaraskan semula institusi utama seperti PNB dan Khazanah Nasional Bhd dengan objektif teras mereka untuk memacu pertumbuhan negara yang mampan.

Beliau juga menekankan kepentingan agar mereka terus berpegang kepada aspirasi teras dan meningkatkan standard tadbir urus.

Perdana menteri berkata walaupun pemantauan kemajuan kekal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan, kerja keras dan komitmen padu mereka dalam melaksanakan pembaharuan dengan berkesan adalah usaha yang patut dipuji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.