Terima hakikat sukar Umno keluar kerajaan, Akmal diberitahu

Terima hakikat sukar Umno keluar kerajaan, Akmal diberitahu

Penganalisis berkata kepimpinan tertinggi menunjukkan komitmen jelas bersama kerajaan perpaduan dan gesaan Pemuda Umno dilihat sukar diterjemah ke bentuk tindakan.

AKMAL SALEH
Penganalisis berkata cadangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya parti keluar kerajaan hampir mustahil direalisasikan.
PETALING JAYA:
Sukar dan tipis untuk melihat Barisan Nasional (BN) atau Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan ketika ini, kata penganalisis sambil berpandangan Dr Akmal Saleh wajar menerima hakikat itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Umno kini melihat kedudukannya dalam kerajaan perpaduan sebagai keperluan strategik untuk memulihkan semula kekuatan parti dan memastikan kestabilan politik selepas ketidaktentuan sebelum ini.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi Umno dengan terbaru – penegasan oleh Presiden Zahid Hamidi semalam yang Umno ‘tidak akan melakukan tebuk atap’ sehingga Parlimen dibubarkan menunjukkan komitmen untuk kekal bersama kerajaan perpaduan.

Katanya, ia sekali gus menjadikan cadangan ketua Pemuda Umno itu supaya parti keluar kerajaan hampir mustahil direalisasikan ketika ini.

“Ketika Pemuda Umno membawa naratif keluar kerajaan melalui konvensyennya, kepimpinan tertinggi jelas tidak menyokong dan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi Akmal.

“Realitinya, Umno kini melihat tanggungjawabnya adalah membantu mewujudkan kerajaan stabil,” katanya kepada FMT.

Mazlan menegaskan, kenyataan beberapa pemimpin DAP yang sering dijadikan alasan untuk menolak kerajaan perpaduan hanyalah pandangan individu dan tidak mewakili parti itu secara keseluruhan.

“Itu sekadar rencah politik. Ia tidak seharusnya mengganggu fokus Umno membantu kerajaan,” katanya.

Menurutnya, Akmal perlu menerima hakikat usaha menghidupkan semula kerjasama seperti Muafakat Nasional dengan PAS hampir mustahil dicapai, selain tidak mendapat sokongan majoriti pimpinan tertinggi Umno.

“Kerjasama itu juga berisiko membawa kepada perebutan kerusi sesama sendiri,” katanya.

Mazlan turut mempersoalkan mengapa hanya Pemuda yang lantang membawa idea keluar kerajaan, sedangkan sayap Wanita dan Puteri tidak senada.

“Ini menunjukkan gesaan itu lebih bersifat peribadi, bukan pendirian kolektif parti,” katanya sambil menyifatkan Akmal seolah-olah bergerak di luar arus utama Umno.

Katanya, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 minggu depan akan menjadi medan sebenar untuk mengukur sejauh mana sokongan terhadap pendirian Akmal, sekiranya beliau serius mahu membawa gesaan itu ke peringkat parti.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Akmal wajar membaca isyarat jelas daripada pimpinan bahawa Umno akan kekal dalam kerajaan perpaduan dan menerima realiti politik semasa.

“Walaupun Umno keluar, kerajaan perpaduan masih mampu bertahan kerana jumlah kerusi Umno kecil. Jadi apa rasional keluar kerajaan hanya untuk menjadi pembangkang tanpa jaminan pulangan politik?” katanya.

Namun, katanya gesaan Akmal juga boleh dilihat sebagai tekanan dalaman untuk menunjukkan masih terdapat penyokong Umno yang tidak selesa bekerjasama dengan DAP.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat, konvensyen ‘Akmal’ pada Sabtu lalu dilihat lebih berat sebelah ke arah desakan keluar kerajaan tanpa pembentangan strategi meyakinkan bagaimana langkah itu akan menguatkan parti.

“Yang ditekankan lebih kepada isu sensitif seperti kes mahkamah Najib Razak dan kedudukan Islam dan Melayu, bukan pelan peningkatan kekuatan Umno,” katanya.

Menurut Azmi, pendirian Zahid memberi isyarat jelas kerjasama dengan PAS atau Bersatu bukan strategi menguntungkan, termasuk risiko pertembungan kerusi.

“Kedudukan dalam kerajaan perpaduan memberi laluan lebih jelas kepada Umno untuk kembali membina kekuatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.