PM seru rai Deepavali dengan semangat perpaduan, saling hormati

PM seru rai Deepavali dengan semangat perpaduan, saling hormati

Anwar Ibrahim berkata manfaatkan perayaan itu untuk pupuk semangat saling hormati dan kukuh persefahaman antara satu sama lain.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia meraikan perayaan Deepavali dengan menyemai perpaduan, menyantuni mereka yang memerlukan dan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara.

Anwar berkata sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, adalah penting untuk terus memupuk semangat saling menghormati dan memperkukuh persefahaman antara satu sama lain.

“Deepavali tiba dengan penuh keceriaan, membawa bersama semangat Pesta Cahaya, lambang kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan kejahatan, serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan.

“Gunakan kesempatan ini untuk menyemai perpaduan, menyantuni mereka yang memerlukan, dan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau juga menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu.

“Moga perayaan Deepavali kali ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar, agar darjat serta harakat rakyat terus terangkat menuju Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.