Ewon sedia letak jawatan menteri jika AGC terus rayu keputusan hasil Sabah

Ewon sedia letak jawatan menteri jika AGC terus rayu keputusan hasil Sabah

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, beliau tidak boleh sokong tindakan bertentangan dengan keputusan mahkamah.

EWON BENEDICK
Ewon Benedick berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri, timbalan-timbalan perdana menteri serta menteri lain mengenai pendiriannya agar AGC tidak membuat rayuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Upko Ewon Benedick menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai menteri persekutuan jika Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah ke atas perkongsian hasil persekutuan dari negeri itu.

Ewon dalam ucapan penggulungannya pada konvensyen Upko Penampang berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri, timbalan-timbalan perdana menteri serta menteri lain mengenai pendiriannya agar AGC tidak membuat rayuan.

“Saya akan bawa pandangan ini secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan untuk direkodkan,” kata menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu, lapor The Borneo Post.

Ewon menegaskan, jika rayuan dibuat dalam tempoh 30 hari, beliau akan bertanggungjawab ke atas resolusi parti dengan berundur daripada Jemaah Menteri.

“Ini bukan tentang politik; ia adalah mengenai hak dan prinsip Sabah. Saya tidak boleh sokong apa-apa keputusan atau tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

“Saya bersedia meletak jawatan daripada Jemaah Menteri demi menjunjung dan mempertahankan hak perlembagaan Sabah serta semangat pembentukan Malaysia,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Jumaat memutuskan kerajaan persekutuan bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal menyerahkan hak 40% hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari Sabah selama hampir 50 tahun.

AGC semalam memaklumkan, pihaknya akan mengkaji penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan.

Terdahulu, satu resolusi ketika konvensyen Upko Penampang mendesak Ewon agar meletak jawatan menteri sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) meneruskan rayuan tersebut.

Satu lagi resolusi diluluskan menyokong penghakiman Mahkamah Tinggi dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.