
Majlis yang turut dihadiri komuniti India, menjadi pentas tidak rasmi pertemuan Setiausaha Agung PN Azmin Ali dan Saravanan, daripada blok politik berbeza ketika hubungan MIC dengan BN ketika ini dilihat ‘tegang’ susulan beberapa kenyataan kedua-dua pihak.
Azmin, yang juga Adun Hulu Kelang merasmikan pembukaan sebuah premis perniagaan emas milik usahawan tempatan, manakala Saravanan hadir sebagai pemimpin masyarakat India di kawasan itu.
Turut hadir Adun Taman Medan Afif Bahardin, Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham yang juga Adun Gombak Setia.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, yang turut menyertai majlis itu ketika dihubungi mengesahkan kepada FMT kehadiran dua tokoh daripada blok berlainan terbabit.
Tidak jauh dari lokasi itu, berlaku penganjuran majlis rumah terbuka Deepavali peringkat kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi dipetik berkata pihaknya terbuka jika MIC mahu meninggalkan gabungan itu, sambil menegaskan keputusan sedemikian adalah hak parti berkenaan.
Kenyataan itu dilihat sebagai reaksi kepada spekulasi MIC mungkin sedang menimbang haluan baharu selepas beberapa pemimpinnya dilihat semakin rapat dengan PN.
Awal bulan ini, sumber MIC memberitahu FMT parti itu melihat PN sebagai ‘cahaya di hujung terowong’ selepas hubungan dengan BN dilihat semakin renggang.
Bulan lalu, beberapa pemimpin muda MIC hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu yang mencetuskan persoalan sama ada ia isyarat kepada hubungan semakin ‘rapat’ antara MIC dan PN.