
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan pihak berkuasa di Gaza tidak memerlukan kehadiran tenaga luar dalam jumlah besar, sebaliknya lebih kepada bekalan ubat-ubatan, makanan serta kemudahan asas.
Katanya, perkara sama telah dimaklumkan kepada pemimpin NGO bagi pelaksanaan gelombang kedua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, melalui jalan darat di Mesir.
“Sebenarnya mereka mahu ubat-ubatan, makanan. Kemudahan-kemudahan asas begitu. Tak perlu kehadiran kita yang ramai. Itu dia sebut pasal kalau doktor, jurutera mungkin, dia ada cukup (tenaga kerja).
“Jadi, saya dah ingatkan NGO nak bantu, bantu cara persiapan di sini. Jangan bebankan semua nak pergi. Kalau begini, saya tengok yang daftar nak pergi ini ada beribu orang. Jadi tak boleh sebab dia (Gaza) dalam keadaan begitu,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling.
Anwar mengulas pertemuannya dengan NGO kemanusiaan berhubung usaha menyelaras serta mencari kaedah terbaik untuk menyalurkan bantuan ke Gaza.
Beliau turut menasihatkan NGO membeli keperluan terus dari kawasan berhampiran Gaza kerana ia lebih murah dan praktikal, berbanding menghantar barangan secara besar-besaran dari Malaysia.
Mengulas lanjut, perdana menteri berkata beliau akan berhubung dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi berhubung perkara berkenaan esok.
“Esok tengah hari Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi akan menelefon saya dari sekitar jam 2 petang dan di situ saya akan sampaikan beberapa pandangan lain supaya bila Rafah dibuka ruang untuk kita bagi bantuan kemanusiaan dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.