Pemimpin politik negeri dipercayai fitnah, hina Raja Perlis

Pemimpin politik negeri dipercayai fitnah, hina Raja Perlis

Rakaman suara itu tersebar di TikTok dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Institusi Diraja Perlis.

Ahmad Mohsin Rodi
Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata laporan itu dibuat Setiausaha Pemuda Umno Arau, Hazalan Haron, petang tadi selepas menonton video menerusi sebuah akaun TikTok memaparkan rakaman suara berkenaan. (Gambar Facebook)
ARAU:
Polis menerima satu laporan berkaitan rakaman suara didakwa mirip seorang pemimpin politik negeri ini dipercayai mengandungi kenyataan berunsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata laporan itu dibuat Setiausaha Pemuda Umno Arau, Hazalan Haron, kira-kira 5.30 petang tadi selepas beliau menonton video menerusi sebuah akaun TikTok pada 11.30 pagi yang memaparkan rakaman suara berkenaan.

“Kenyataan dikeluarkan dalam rakaman tersebut dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.

“Kandungan rakaman itu telah disebarkan secara terbuka menerusi beberapa platform media sosial, dan mengandungi maklumat yang tidak benar serta boleh menjejaskan maruah, reputasi dan Institusi Diraja Negeri Perlis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk menentukan seksyen bersesuaian di bawah peruntukan undang-undang yang terlibat.

Sementara itu, setiausaha Pemuda Umno Perlis merangkap pemangku Ketua Pemuda Umno Arau, Ahmad Nazrin Abdul Aziz, menegaskan laporan polis berkenaan bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat atas dasar tanggungjawab moral dan semangat mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan.

Beliau berkata, keutuhan dan martabat institusi diraja perlu sentiasa dipelihara demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negeri.

“Saya percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara adil dan profesional serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

“Saya juga menyeru semua pihak, khususnya pemimpin negeri dan penjawat awam lebih berhemah dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh hubungan dengan institusi diraja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.