Geng pecah rumah Amerika Latin tumpas

Geng pecah rumah Amerika Latin tumpas

Tiga warga Colombia dan seorang warga Mexico ditangkap.

handcuff
Geng pecah rumah warga Amerika Latin itu dipercayai terlibat dalam empat kes melibatkan kerugian hampir RM1 juta. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Kumpulan pecah rumah warga Amerika Latin yang menyasarkan kediaman mewah tumpas dengan penahanan empat lelaki dalam serbuan di sebuah kondominium, di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar, berkata tiga warga Colombia serta seorang warga Mexico berusia 40-an itu ditahan pada 10 malam menerusi serbuan dijalankan pihaknya dengan kerjasama JSJ Perak dan IPD Brickfields.

“Berikutan tertangkapnya geng ini, empat kes pecah rumah diselesaikan dengan kerugian hampir RM1 juta. Dua daripada kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” katanya menurut Bernama sidang media, di Bukit Aman.

Beliau berkata, rumah mewah yang menjadi sasaran kumpulan itu dibuat secara rawak dan kegiatan pecah rumah dilakukan sekitar waktu petang ke malam ketika penghuni tiada di rumah.

Kumar berkata, dua daripada suspek dipercayai dalang kumpulan memainkan peranan mengenal pasti sasaran.

Katanya, tiga warga Colombia itu didapati memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan, manakala warga Mexico masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati dua suspek warga Colombia masing-masing memiliki tiga serta enam rekod lampau selain pernah ditangkap pada 2012 dan 2014 membabitkan kes sama.

“Semua suspek masih direman sehingga 19 Okt untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya sambil menambah kes itu masih dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat kes lain membabitkan kumpulan itu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai pelbagai mata wang, rantai emas, cincin, telefon bimbit serta kenderaan disyaki digunakan melakukan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.