
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN Sabah yang akan berlangsung antara 15 hingga 29 Nov.
Tarikh penamaan calon ditetapkan 15 Nov manakala pengundian 29 Nov.
“Tarikh itu bertembung dengan PAU yang sebelum ini dirancang pada 26 hingga 29 Nov, maka Umno Malaysia memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan itu kepada 14 hingga 17 Januari 2026,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf berkata penangguhan itu bagi memberi ruang kepada kepimpinan dan jentera Umno di seluruh negara menumpukan sepenuh tenaga membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Beliau berkata fokus utama parti kini adalah untuk membantu BN meraih kembali kepercayaan rakyat negeri itu agar dapat kembali menerajui kerajaan.
“Diharapkan penangguhan ini dapat memastikan seluruh kekuatan Umno dapat digerakkan untuk kemenangan BN Sabah demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengikut jadual awal, PAU 2025 sepatutnya diadakan pada 20 hingga 23 Ogos depan namun ditangguhkan ke November.