Anwar mahu pembinaan Kota Madani disegerakan

Anwar mahu pembinaan Kota Madani disegerakan

Perdana menteri minta Putrajaya Holdings beri tumpuan sepenuhnya terhadap projek pembangunan utama kerajaan Madani.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan ulang tahun ke-30 Putrajaya Holdings malam ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu pembinaan Kota Madani disegerakan dengan meminta Putrajaya Holdings (PjH), pemaju utama pusat pentadbiran negara memberi tumpuan sepenuhnya terhadap projek itu.

“Mudah-mudahan kita dapat lihat dalam masa singkat…yang saya tidak boleh tolak ansur ialah kalau (pembinaan) lambat, jadi kita (mahu pembinaan yang) cepat.

“Kini tunggu Putrajaya Holdings untuk beri ‘full speed ahead’,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan ulang tahun PjH ke-30 malam ini.

Kota Madani adalah projek pembangunan perbandaran bernilai RM4 bilion meliputi kawasan seluas 41 hektar di Presint 19.

Ia merangkumi 10,000 unit kediaman untuk kira-kira 30,000 penduduk, lengkap dengan kemudahan komuniti, lot komersial serta ruang awam hijau yang mesra pejalan kaki.

Fasa 1 melibatkan 3,000 unit dijadual siap pada akhir tahun 2027, manakala keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya pada 2032.

Berkonsepkan bandar pintar berteraskan rakyat bawah agenda Madani, pelan itu menampilkan reka bentuk yang mengutamakan pejalan kaki, sekolah menegak, serta kemudahan awam bersepadu seperti balai polis dan bomba, kemudahan kesihatan, taman rekreasi dan institusi TVET.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.