
Ketua Polis Barat Daya, Sazalee Adam, berkata pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci maklumat terbabit kerana siasatan sedang dijalankan.
“Kami sedang mengesan lelaki yang dilaporkan hilang itu dan percaya dia masih berada di dalam negara kerana tiada rekod perjalanan ke luar negara sejak 2019.
“Polis juga sedang mengesan pemilik akaun e-dompet antarabangsa yang digunakan bagi transaksi oleh ibu mangsa untuk pembayaran yang dituntut sindiket bagi membebaskan lelaki itu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Barat Daya.
Kes disiasat bawah Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan siasatan polis mendapati lelaki itu tidak pernah ke luar negara sejak 21 Okt 2019, dengan kali terakhir dia ke China pada 13 Okt 2019 dan pulang pada 21 Okt tahun yang sama, serta polis menjalankan siasatan dari pelbagai sudut.
Sazalee dilaporkan berkata kertas siasatan kes itu dibuka selepas ibu mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anaknya.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Lai, 25, yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor ubah suai, dipercayai diculik sindiket penipuan kerja di Thailand dan dikawal sepenuhnya sejak pertengahan bulan lepas.
Ibunya yang ingin dikenali sebagai Rose, 52, dilaporkan berkata dia mula berkomunikasi dengan sindiket itu pada 16 Sept lepas setelah menerima mesej meminta wang tebusan bagi membebaskan anaknya dengan ugutan tangan anaknya akan dipotong jika enggan membayar wang itu.
Wanita terbabit dilaporkan berkata dia hanya sempat mendengar suara anaknya sebentar ketika panggilan dibuat, dipercayai di bawah kawalan sindiket.
Wanita itu membuat bayaran pertama sebanyak USD5,000 (RM23,500) selepas menerima ancaman, diikuti bayaran kedua berjumlah USD8,000 (RM37,600) sebelum sindiket menuntut tambahan USD2,000 (RM9,400).