
Peguam Indira, Rajesh Nagarajan dan Amanda Sonia Mathew, berkata Hakim Aliza Sulaiman menolak permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas memutuskannya gagal membuktikan sebarang keadaan khas yang mewajarkan penangguhan tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan kos ditanggung mengikut hasil akhir kes.
MAIWP sebelum ini memohon untuk menangguhkan semua prosiding saman tersebut sementara menunggu keputusan satu lagi saman berasingan yang difailkan peguam Haniff Khatri Abdulla terhadap kerajaan.
Haniff telah memfailkan samannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan ialah teks berautoriti.
Hakim Aliza menetapkan permohonan asal Indira untuk didengar pada 3 Februari tahun hadapan.
Indira, yang tiga anaknya yang masih di bawah umur telah ditukar agama kepada Islam oleh bekas suaminya tanpa persetujuannya, kini memohon agar undang-undang yang membenarkan penukaran agama sebelah pihak di lapan negeri dibatalkan.
Permohonan asal itu, yang difailkan pada 3 Mac, berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kesnya, memutuskan bahawa penukaran agama sebelah pihak adalah tidak mengikut Perlembagaan dan tidak sah.
Dalam keputusan bersejarah itu, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama yang dilakukan oleh bekas suami Indira terhadap tiga anak mereka.
Mahkamah tertinggi itu mentafsirkan perkataan ‘parent’ (ibu bapa) dalam Perkara 12(4) Perlembagaan sebagai merujuk kepada kedua-dua ibu bapa, selagi mereka masih hidup. Ini bermaksud, penukaran agama mana-mana kanak-kanak bawah umur memerlukan persetujuan daripada kedua-dua ibu bapa yang masih hidup.
Undang-undang negeri di Wilayah Persekutuan, Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor pada masa ini masih membenarkan penukaran agama sebelah pihak.
Bekas suami Indira, Riduan Abdullah, masih menjadi buruan dan anak perempuan mereka, Prasana Diksa ada bersamanya.
Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, melarikan diri bersama Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan pada tahun 2019, tidak lama selepas beliau memeluk Islam.