Kerajaan bakal wajib media sosial laksana had umur pengguna

Kerajaan bakal wajib media sosial laksana had umur pengguna

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pengesahan identiti menerusi eKYC untuk pastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun.

fahmi fadzil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata proses eKYC juga penting bagi banteras kegiatan penipuan dalam talian dan sebaran kandungan judi serta iklan palsu. (Gambar Bernama)
SIPITANG:
Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau ‘electronic Know Your Customer’ (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak memiliki akaun.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti ditetapkan platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.

“Cuma ‘exact timeline’ (garis masa pasti) saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di DUN Sindumin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah, Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zurkarnain Mohd Yasin, dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata bagi tujuan itu, satu pertemuan antara SKMM dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.

Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam… semalam, dalam Parlimen saya ada menjawab soalan…ada angka yang menggerunkan…78% daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.

Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) iaitu NOW yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama SKMM bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.

Fahmi berkata sehingga kini, terdapat 1,099 Nadi di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.

Program NOW di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet bagi membolehkan komuniti tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.

Fahmi turut menyentuh pelaksanaan projek Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (Salam) bernilai RM2 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026, yang akan menghubungkan Semenanjung, Sarawak, dan Sabah.

“Untuk program Salam, di Sabah kita akan bina juga jaringan kabel dasar laut di pesisir pantai, kabel ini akan dipasang dari Tanjung Aru hinggalah ke Tawau sepanjang pesisir…kita jangka projek ini akan selesai dalam tempoh dua atau tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, projek itu akan menjadi keutamaan kementerian bagi memastikan kelancaran rangkaian komunikasi di Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada kabel dasar laut sedia ada.

Pada masa sama, Fahmi turut memaklumkan SKMM akan menumpukan kepada usaha penyelenggaraan menara telekomunikasi yang sering terjejas akibat banjir dengan pelaksanaan proses site hardening dan penggunaan sistem jana kuasa hibrid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.