Hukum pentadbir sembunyi kes libat murid atau guru, gesa ahli akademik

Hukum pentadbir sembunyi kes libat murid atau guru, gesa ahli akademik

Anuar Ahmad menegaskan 'pendidikan sedang tenat' dan tindakan mesti diambil segera.

dr anuar ahmad
Anuar Ahmad kata kerajaan mesti bina kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mengambil tindakan tata tertib terhadap mana-mana pentadbir pendidikan yang menyembunyikan kes melibatkan murid atau guru, di sebalik liputan mengenai jenayah serius di sekolah muktakhir ini.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata langkah ini penting selepas pendedahan Ketua Pengarah Pendidikan, Ahmad Rafee Che Kassim, bahawa banyak kes salah laku pelajar termasuk amang seksual dan buli ‘di simpan bawah karpet’ di peringkat sekolah dan jabatan.

“Kita kena akui pendidikan sedang tenat dan mesti diambil tindakan segera. Ini bukan lagi kes murid bising dalam kelas, tetapi kes buli, rogol dan bunuh.

“Ini jenayah berat dalam kawasan sekolah,” kata timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia ini.

Menurutnya, tahap keselamatan pelajar kini membimbangkan apabila ramai ibu bapa takut menghantar anak ke sekolah, malah pelajar berasa tidak selamat untuk hadir ke kelas.

“Kerajaan mesti bina kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem pendidikan negara,” tegasnya.

Anuar mencadangkan penyelesaian dilaksanakan secara berperingkat, merangkumi langkah jangka masa pendek dan panjang bagi memulihkan integriti sistem pendidikan serta keyakinan masyarakat.

Antara langkah jangka masa pendek yang dicadangkannya ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah, melaksanakan audit keselamatan menyeluruh, serta mengenal pasti murid dan ibu bapa berisiko tinggi untuk hadir sesi kaunseling bersama kaunselor bertauliah.

Bagi jangka masa panjang pula, beliau mencadangkan pengukuhan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah; penekanan pada pendidikan keselamatan, kesihatan dan sahsiah bermula di sekolah rendah; serta penempatan kaunselor bertauliah di semua sekolah dengan nisbah seorang kaunselor bagi setiap 250 murid.

Beliau menegaskan pendekatan luar biasa diperlukan bagi menangani situasi yang kini dianggap luar biasa dalam sistem pendidikan.

“Bila salah laku sudah luar biasa, penyelesaiannya juga mesti luar biasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.