
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata siasatan awal menunjukkan ada beberapa tikaman di badan mangsa yang dipercayai dibunuh di kawasan berhampiran tandas perempuan.
Katanya, polis merampas dua senjata tajam dari suspek dan tiada pelajar lain yang cedera dalam kejadian itu.
“(Setakat siasatan yang sudah dibuat) Saya mengesahkan tiada unsur buli yang berlaku.
“Motif kejadian masih dalam siasatan” katanya pada sidang media di lokasi kejadian sambil mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, suspek yang juga pelajar sekolah itu akan direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk proses siasatan.
“Polis juga sedang merakam keterangan saksi termasuk rakan mangsa dan guru,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Ismail memberi jaminan sekolah-sekolah di seluruh negara secara amnya masih selamat.
Khalid juga berkata tiada keperluan untuk menempatkan pegawai polis secara tetap di sekolah, kerana sistem sedia ada yang melibatkan pegawai perhubungan sekolah dan rondaan berkala oleh polis sudah memadai.
Katanya, sekolah kekal selamat memandangkan skala sistem pendidikan negara dan kerjasama antara polis dengan pihak sekolah.
“Langkah-langkah yang kita ambil setakat ini mencukupi,” katanya pada sidang media.
“Kita mempunyai lebih daripada 10,000 sekolah, ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru.
“Beberapa kejadian berlaku di luar kawalan kita, tetapi kita akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi mencegah kes seumpama ini pada masa hadapan.”
Beliau menambah bahawa pendedahan kepada media sosial dan pengaruh luar boleh memberi kesan terhadap tindakan pelajar dan menyeru ibu bapa serta guru untuk memantau aktiviti dalam talian anak-anak.