Kes jenayah makin menjadi, Syed Saddiq mahu kerajaan pasang CCTV di sekolah

Kes jenayah makin menjadi, Syed Saddiq mahu kerajaan pasang CCTV di sekolah

Ahli Parlimen Muar berkata kepercayaan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah semakin pudar dengan berlakunya kes buli, rogol, dan bunuh.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pemasangan CCTV di semua sekolah tidak begitu mahal dengan kos setiap kamera antara RM50 hingga RM200. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) menyeru kerajaan memperuntuk dana untuk kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua sekolah berikutan susulan kes buli, rogol, dan pembunuhan melibatkan pelajar.

Beliau berkata, sekolah awam kini berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan ibu bapa kerana kawasan sekolah kini dilihat sebagai tidak selamat.

“Sekolah ini adalah seperti rumah bagi kita, rumah yang cikgu adalah bagaikan ibu bapa di sekolah. Tempat yang patut dilihat sebagai tempat paling selamat selepas rumah kita…sekarang tidak asing lagi apabila ada perkataan bunuh, rogol, buli,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2026, di Dewan Rakyat.

Syed Saddiq berkata, pemasangan CCTV di sekolah di seluruh negara tidak akan melibatkan belanja mahal kerana setiap kamera berharga antara RM50 hingga RM200, sambil menambah menyelamatkan walaupun satu nyawa sudah menjadikan kos itu berbaloi.

Beliau juga berkata, tiba masa untuk ‘memufliskan sistem sokongan pembuli’ dengan menjadikan warden, pengetua, dan pegawai penguat kuasa bertanggungjawab apabila insiden sedemikian berlaku.

“Kalau dah ada orang kena rogol, kena bunuh, kena buli, nama sekolah itu tak penting. Yang penting adalah keselamatan dan nyawa anak-anak kita di situ,” katanya.

Tak wajar potong dana pertanian

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq mempersoalkan mengapa bajet berlaku pemotongan mendadak belanja pembangunan bagi sektor pertanian daripada RM3 bilion tahun lalu kepada RM551 juta, sedangkan RM600 juta pula dibelanjakan mengubah suai Carcosa Seri Negara.

“Untuk petani, untuk makanan, RM551 juta. Tetapi, untuk bangunan, RM600 juta. Ia seperti tidak masuk akal,” katanya.

Syed Saddiq berkata, kerajaan mesti melabur dalam pertanian moden dan keselamatan makanan, bukannya pengubahsuaian mewah.

“Kita nak cakap soal dron, nak tarik anak muda jadi petani moden, tapi kalau tak ada duit nak berubah macam mana?” soalnya.

Khazanah Nasional telah dipertanggungjawab membelanjakan RM600 juta bagi pemulihan Carcosa Seri Negara dan beberapa bangunan warisan berdekatan di Kuala Lumpur, termasuk blok dalam kompleks Sultan Abdul Samad.

Kerajaan berkata, projek itu bertujuan memelihara mercu tanda bersejarah dan menggalakkan pembaharuan bandar di bawah program Warisan KL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.