
Adun Bawang Assan, Wong Soon Koh meminta Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun tidak mengheret syarikat penerbangan negara dalam politik agamanya dan menyifatkan gesaannya jahil serta tidak berpandangan jauh.
Adun tujuh penggal itu berkata, pengharaman alkohol akan menjejaskan jumlah penumpang Malaysia Airlines yang menyantuni pelancong dari seluruh dunia dan pelbagai latar belakang agama.
Wong berkata, ini soal kelangsungan ekonomi kerana Malaysia Airlines masih dalam proses pulih daripada kesan pandemik dan terpaksa bersaing dengan syarikat penerbangan utama lain seperti Singapore Airlines, Emirates dan Qatar Airlines.
“Semua syarikat penerbangan itu menyediakan layanan perkhidmatan penuh, termasuk minuman beralkohol. Jika Malaysia Airlines melaksanakan larangan sedemikian, ia akan hilang kelebihan, khasnya dalam kalangan penumpang perniagaan dan antarabangsa yang mengharapkan perkhidmatan bertaraf dunia.
“Ini boleh mengurangkan daya tarikan Malaysia Airlines, menjejaskan pendapatannya dan seterusnya mencabar kedudukan kewangannya yang sudah lemah,” katanya dalam kenyataan.
Wong menyifatkan gesaan Hasnizan memalukan dirinya dan PAS, selain parti Islam itu perlu melangkaui pendirian berkenaan jika ia benar-benar mahu mentadbir negara.
Beliau turut menuduh Ahli Parlimen PAS itu menggunakan agama untuk memecahbelahkan rakyat.
“Orang bukan Islam menghormati Islam, tetapi kita menolak manipulasi agama, paksaan moral dan campur tangan dalam cara hidup kita. Kepercayaan perlu berdasarkan sikap saling menghormati dan hidup bersama secara aman.
“Seorang pemimpin yang meletakkan cita-cita peribadi di atas kepentingan negara tiada tempat dalam masa depan Malaysia,” kata naib presiden kanan Parti Demokratik Progresif itu.
Semalam, Hasnizan dilaporkan berkata, menghidangkan minuman beralkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines bertentangan prinsip Islam dan meletakkan pramugari Islam dalam kedudukan tidak selesa.
Beliau mendakwa penumpang juga tidak selesa dengan perkara itu dan cadangannya bukan bertujuan menyekat hak sesiapa, tetapi menghormati sensitiviti agama golongan majoriti.