
Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat, berkata berdasarkan pemerhatian pada badan mangsa, tikaman berulang kali itu berkemungkinan menyebabkan mangsa maut.
“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman, namun belum dapat dipastikan dengan sebenar berapa kali mangsa ditikam.
“Proses bedah siasat masih berlangsung yang akan menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Shamsudin berkata, polis masih menjalankan siasatan motif kejadian dari semua sudut, termasuk dakwaan tersebar di media sosial bahawa suspek bertindak sedemikian kerana mangsa menolak cintanya.
“Proses siasatan masih lagi berjalan dan dilakukan secara menyeluruh. Keterangan pelajar juga masih dirakam. Apa-apa sahaja maklumat perlu diteliti dahulu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kejadian itu terdiri daripada pasukan IPD Petaling Jaya yang dibantu pasukan forensik dan IPK Selangor.
Menurutnya, suspek berusia 14 tahun manakala mangsa pula berusia 16 tahun, dan kedua-dua mereka belajar di kelas peralihan masing-masing di Tingkatan 1 dan Tingkatan 3.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila ahli keluarga mangsa hadir bagi urusan bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan maut disyaki ditikam pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah, manakala suspek yang juga pelajar sekolah sama berjaya ditahan.