
Ti mengingatkan presiden Umno itu bahawa MCA dan MIC kekal setia kepada BN walaupun selepas gabungan mengalami kekalahan besar dalam PRU 2018 yang menamatkan pemerintahan selama 61 tahun.
Beliau berkata kedua-dua parti tidak meninggalkan BN walaupun reputasi gabungan itu semakin tercalar akibat pelbagai tuduhan rasuah terhadap pemimpin Umno – termasuk Zahid sendiri – serta pembebasan bersyarat yang diterimanya.
“Kami berdepan serangan daripada orang ramai kerana hubungan kami dengan Umno. Ia menjejaskan reputasi kami dengan teruk, namun kami tetap teguh ketika BN melalui tempoh paling gelapnya.
“Dan kini memperlekehkan MCA dan MIC walaupun kami kekal setia, menunjukkan keangkuhan dan tidak tahu mengenang budi,” katanya kepada FMT.
Zahid semalam mendakwa beberapa pemimpin MCA dan MIC mendesak parti mereka keluar daripada BN kerana mereka tidak berpuas hati tidak mendapat ‘mainan’.
Presiden MCA Wee Ka Siong, bagaimanapun menafikan bahawa parti itu menuntut ‘mainan’, sebaliknya berkata MCA hanya menuntut penghormatan dan layanan yang adil.
Ti berkata kenyataan Zahid itu menghina asas pembentukan BN, iaitu satu gabungan yang berteraskan saling menghormati, kesamarataan dan tanggungjawab bersama antara parti komponennya.
“Apabila pengerusinya memperlekehkan kebimbangan yang disuarakan oleh rakan gabungan dan menganggapnya sebagai ‘mahukan toys’ , ia mencerminkan banyak perkara tentang kepimpinannya – terutamanya dengan mengambil kira hubungan rapatnya dengan DAP,” katanya.
Beliau menambah di bawah kepimpinan Zahid, BN telah berubah menjadi ‘alat untuk mempertahankan diri, bukan lagi untuk membina negara’.
“BN berhak memiliki kepimpinan yang menyatukan, bukan yang menghina; yang mengembalikan maruah, bukan menukarnya demi kepentingan peribadi,” katanya.