PN perkenal bantuan sehingga RM6,000 setahun jika tadbir Putrajaya

PN perkenal bantuan sehingga RM6,000 setahun jika tadbir Putrajaya

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata PN juga akan sedia pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah untuk golongan rentan serta tambah peruntukan kesihatan.

Hamzah Zainudin tegaskan PN mempunyai keupayaan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) jika tadbir Putrajaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mencecah RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah memerlukan antara inisiatif akan diperkenalkan Perikatan Nasional (PN) jika mentadbir Putrajaya selepas PRU16.

Dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin turut memberi bayangan pembangkang akan menawarkan pendidikan percuma di peringkat pra-siswazah serta menambah peruntukan kesihatan.

Hamzah yang juga timbalan pengerusi PN berdasarkan Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu, pihaknya yakin kedudukan fiskal negara memberi keupayaan memperkenalkan BPN.

“Berbeza bantuan bersyarat dan terhad seperti skim SARA yang mengekang pilihan rakyat, PN akan memberikan kebebasan kepada rakyat untuk menentukan sendiri perbelanjaan mereka, di mana dan apa yang mereka perlukan,” kata Ahli Parlimen Larut itu.

Menjelaskan tawaran pendidikan percuma bagi peringkat pra-siswazah, Hamzah yang juga timbalan presiden Bersatu berkata bantuan itu akan dikhususkan kepada penerima BPN atau golongan rentan.

Menurutnya, PN juga akan memastikan pelajar yang layak mengikut merit diberikan biasiswa bagi menyempurnakan pengajian ijazah pertama dalam bidang strategik.

“Autonomi kepada institut pengajian tinggi awam juga akan diperluaskan melalui Tabung Endowment khususnya membabitkan universiti penyelidikan,” katanya.

Menyentuh sektor kesihatan, Hamzah berkata peruntukan lebih tinggi disalurkan untuk menampung kenaikan kapasiti hospital kerajaan di seluruh negara selaras prinsip Maqasid Syariah.

“Kami ingin sektor kesihatan diberikan keutamaan melebihi dari kementerian lain,” katanya.

Jelasnya, belanjawan alternatif PN yang bernaratifkan ‘Membetulkan Struktur, Menyemarakkan Ekonomi dan Melegakan Rakyat’ itu diperkenal bagi menyelamatkan ekonomi negara.

“PN berpendirian jelas ekonomi negara tidak boleh diselamatkan hanya dengan agihan.

“Kita mesti membesarkan kek ekonomi, mencipta peluang dan menambah hasil supaya setiap rakyat mendapat bahagiannya dengan adil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.