
Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari menambah ia kerana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh mempengaruhi siasatan badan antirasuah.
“Exco berkenaan tidak perlu letak jawatan kerana tugasnya hanya sebagai exco kerajaan negeri tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan seorang exco dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM.
Menurutnya, suspek kes itu akan dituduh dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, menurut sumber, suspek disyaki mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, pada 2018 dan 2020.
Fadhli berkata PAS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan, namun menyoal kes yang “tiba-tiba digerakkan” untuk pendakwaan pada waktu ini.
“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya.
“Kita kekal tenang dan serahkan kepada proses mahkamah.”