
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Syahir Sulaiman berkata terbaharu Tun Faisal menggesa pimpinan PN memindahkan segera Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat ke blok bebas di Dewan Rakyat serta melucutkan jawatan diperuntuk kepada pembangkang.
Menurutnya, isu kedudukan tempat duduk dan jawatan dalam Parlimen seharusnya diselesaikan melalui perbincangan dalaman antara rakan komponen PN, bukannya diperdebatkan secara terbuka.
Syahir turut menegaskan keutamaan Ahli Parlimen pembangkang ketika ini ialah menangani isu kepentingan negara dan rakyat, bukannya berebut jawatan atau kerusi, memandangkan persidangan Parlimen sesi ini hanya berbaki empat hari.
“Tugasan kami di Parlimen amat banyak, termasuk isu perjanjian tarif (ART), laporan audit, bajet tambahan, Rang Undang-Undang (RUU) Peguam Negara, RUU had tempoh dua penggal perdana menteri, isu SPRM dan Azam Baki, ekonomi, pendidikan, mafia korporat serta pelbagai isu nasional lain.
“Dengan semua perkara besar di atas meja, soal berebut jawatan dan kerusi bukan keutamaan kami. Lebih baik Penerangan fokus kepada isu rakyat, perkemas jentera media sosial — bukan sekadar ‘ceplos’ — dan serang Pakatan Harapan (PH) Madani, bukan menyerang rakan sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.
Mengulas lanjut, Syahir berkata pengerusi PN yang baharu dilantik, Ahmad Samsuri Mokhtar, wajar diberi ruang dan masa untuk menyusun serta memperkemas barisan kepimpinan gabungan itu.
Syahir, yang juga setiausaha politik kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang, memaklumkan Pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin, telah menghubungi Hadi semalam bagi membincangkan isu kedudukan ketua pembangkang.
“Ini contoh baik. Kita bincang secara berhemah. Difahamkan Tuan Guru (Hadi) menjelaskan beliau tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat terdekat untuk diputuskan, insya-Allah.
“Sebagai timbal balas, PAS juga tidak pernah mendesak supaya kedudukan kerusi pengerusi PN yang baharu atau terdahulu ditukar,” katanya.
Semalam, Tun Faisal menggesa supaya Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dipindahkan segera ke blok bebas di Dewan Rakyat dan dilucutkan jawatan kuota pembangkang.
Beliau berkata kelewatan berbuat demikian perlu dipandang serius kerana ia melibatkan kredibiliti struktur pembangkang dan disiplin institusi Parlimen, dengan merujuk kepada status Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, yang masih menyandang jawatan ketua pembangkang meskipun dipecat daripada Bersatu.