
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata kegiatan seumpama itu amat membimbangkan terutama selepas berjaya menembusi kawalan keselamatan di kawasan berteknologi tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Saya risau tempat seperti KLIA yang ada CCTV (kamera litar tertutup) ketat pun boleh ada ‘counter setting’, apatah lagi pangkalan di tepi Sungai Golok yang panjang dan terbuka.
“Saya ada maklumat (mengatur kaunter di sempadan negara) cuma tunggu masa. Saya beri amaran dulu kepada mereka yang buat dan saya tidak teragak-teragak, kami akan tangkap tidak kira anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) ke atau sesiapa sahaja,” katanya kepada Bernama di IPK Kelantan di sini baru-baru ini.
Mohd Yusoff menyifatkan individu yang terlibat dengan kegiatan itu sebagai pengkhianat negara dan mereka sedang berada dalam ‘radar’ pihaknya.
“Bila saya bercakap, saya ada maklumat maksudnya memang ada (mengatur kaunter), insya-Allah kami akan buat tangkapan,” katanya.
Pada 24 Julai lepas, Bernama melaporkan seorang pegawai penguat kuasa ditahan di KLIA, Terminal 1, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku mengatur kaunter, iaitu kerjasama antara pegawai imigresen dengan sindiket untuk membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan pegawai penguat kuasa itu ditahan Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS selepas rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan pegawai terbabit di kaunter pemeriksaan masuk.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata sejak beliau mengisytiharkan larangan rentas sempadan melalui jalan yang tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok, keadaan keselamatan di kawasan berkenaan kekal terkawal hasil pemantauan harian oleh Cawangan Khas.
Beliau berkata tindakan itu turut membawa kesan positif apabila kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand secara haram menurun hampir 90% berbanding penguatkuasaan sebelum ini.
“Hasil maklumat daripada rakan sejawatan di selatan Thailand menunjukkan penurunan ketara aktiviti di sempadan, termasuk kira-kira 85% pusat hiburan di Sungai Golok di selatan Thailand yang dilaporkan telah berkurangan, malah banyak premis perniagaan di kawasan itu turut ditutup,” katanya.
Pada 1 Dis tahun lepas, polis Kelantan menguatkuasakan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.
Rakyat Malaysia boleh ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.
“Sejak larangan rentas sempadan secara haram yang diumumkan, ia memberi impak dalam mengekang kemasukan rakyat kita ke Thailand secara haram, malah kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia turut menunjukkan trend penurunan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata susulan larangan rentas sempadan yang dikuatkuasakan, pihaknya merekodkan rampasan kontraban sejak awal Januari hingga September tahun ini bernilai RM275,455,058 melibatkan 1,335 kes.
Beliau berkata sepanjang tempoh sama, sebanyak 62 kes jenayah rentas sempadan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 turut direkodkan, dengan 104 individu ditahan kerana cuba memasuki Thailand secara haram.