
Beliau berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan untuk mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan tersebut.
“Peperiksaan (UPSR dan PT3) yang disebut itu masih berada dalam polemik masyarakat.
“Saya minta Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad berikan pandangan dan kepercayaan. Ahli-ahli majlis penasihat itu nanti akan membincangkannya,” katanya kepada wartawan selepas majlis amanat Tahun Baru di KPM.
Fadhlina juga berkata akan menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk membuat keputusan selepas kajian dibuat nanti.
UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan tahun sama, sebelum dimansuh pada 2022, dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Sebelum ini, terdapat desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 kerana mendakwa ketiadaan peperiksaan itu menyumbang kepada keciciran pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pada Okt tahun lalu berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.
Sementara itu, mengenai jangkaan kenaikan tambang bas sekolah, Fadhlina berkata perkara itu akan dibawa dibincangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Itu baru jangkaan. Saya akan bawa dan bincang dalam Jemaah Menteri nanti dan kita lihat secara keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlakunya kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.