
MSIA berkata inisiatif ini selaras Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) untuk melahirkan 110 jaguh semikonduktor.
Menurutnya, keberkesanan program ini akan banyak bergantung pada skop dan jangkauan rakan inkubator global terutama dalam menyediakan akses kepada kit reka bentuk proses faundri dan wafer pelbagai produk bagi reka bentuk nod lanjutan, akses kepada pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar serta sokongan infrastruktur reka bentuk.
“Sumber ini lazimnya sukar diperoleh oleh syarikat pemula niaga. Penerimaan melalui program inkubator memberi peluang yang sama rata.
“Bagaimanapun, penjelasan diperlukan sama ada inkubator berkenaan akan menyediakan penyelesaian pembungkusan bagi membolehkan pembangunan prototaip lengkap selepas wafer siap difabrikasi,” menurut kenyataan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengumumkan Malaysia akan melancarkan program inkubator oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama inkubator global untuk menangani halangan awal yang sering dialami syarikat pemula niaga semikonduktor berikutan kos prototaip yang tinggi.
MSIA berkata peruntukan sebanyak RM7.9 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), termasuk RM650 juta yang tertumpu kepada latihan dalam bidang kecerdasan buatan, kenderaan elektrik dan semikonduktor, memperlihatkan pengiktirafan kerajaan terhadap cabaran berkaitan bakat yang dihadapi oleh industri teknologi tinggi.
Sementara itu, pengenalan Dana Pelaburan Bersama Strategik bernilai RM200 juta dan Dana Pembangunan Perindustrian NIMP bernilai RM180 juta langkah memberangsangkan ke arah membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan inklusif terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat pertengahan.
MSIA berkata inisiatif seperti projek Kabel Dasar Laut Madani (Salam) dengan kos RM2 bilion, menaik taraf logistik dan lapangan terbang serta status Entiti Perniagaan Asean (ABE) dan skim Pas Pelabur akan membantu memperkukuh infrastruktur industri dan ekosistem pelaburan.
Menurutnya, dasar yang konsisten, bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan pelaksanaan dan penyiapan projek yang tepat pada masa penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan membolehkan pertumbuhan yang berterusan dalam semikonduktor.
Dana Pengkomersialan Inovasi bernilai RM200 juta, insentif cukai modal teroka yang dipertingkat dan program pensijilan ‘Made by Malaysia’ atau jenama Malaysia juga langkah yang tepat pada masa untuk mendorong industri berpacukan reka bentuk dan berteraskan inovasi.
“Instrumen ini perlu dilaksanakan dengan berkesan untuk menyokong pengkomersialan harta intelek semikonduktor tempatan, reka bentuk komponen, pembungkusan termaju dan peralatan teknologi canggih sekali gus memastikan asas inovasi Malaysia berkembang seiring kekuatan pengeluarannya,” katanya.
Menurut MSIA, fasa seterusnya perlu menumpukan kepada penyampaian, terperinci dan penyelarasan bagi memastikan Malaysia bergerak lebih jauh, bukan sekadar melakukan pemasangan dan ujian dalam reka bentuk, penyelidikan dan pembuatan, pembuatan termaju, dan peneraju dalam peralatan.
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ merupakan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.