
Saranan timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM120 juta dalam Belanjawan 2026 bagi inisiatif pendidikan percuma PTPTN yang akan memanfaatkan seramai 5,800 pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai tahun hadapan.
Amir Asyraf Sabri, presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, menyifatkan inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan tiada pelajar berpotensi tercicir kerana kekangan kewangan.
“Pendidikan kini tidak lagi dilihat sekadar sebagai hak individu, tetapi sebagai pelaburan strategik negara untuk membina masyarakat yang progresif, berdaya saing dan inklusif,” katanya.
“Walaupun dimulakan secara terpilih, inisiatif ini wajar dilihat sebagai projek perintis untuk menilai keberkesanan sistem dan impaknya di lapangan. Dalam jangka sederhana, pelaksanaannya perlu diperluas kepada semua anak B40, khususnya dalam bidang strategik seperti pendidikan, kejuruteraan, kesihatan, sains data dan TVET, mengambil kira kemampuan fiskal negara.”
Azamuddin Sahar, presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, berkata tindakan ‘berskala kecil’ tidak menyelesaikan masalah hutang dan akses pendidikan tinggi secara struktural.
“Jika bantuan tak inklusif, maka pelajar akan tetap menghadapi tekanan,” katanya, menjelaskan pelajar turut berdepan sewa penginapan, makanan, pengangkutan, buku dan keperluan harian.
Sehubungan itu, Azamuddin mencadangkan kerajaan mengadakan perbincangan dengan mahasiswa supaya pendidikan dapat betul-betul diakses, termasuk isu universiti meningkatkan kadar yuran, dan bantuan sara hidup tambahan.