
Jika sebelum ini peranan suri rumah sering dikaitkan dengan tanggungjawab mengurus keluarga semata-mata, kini mereka membuktikan kemampuan berdikari melalui inisiatif pembiayaan mikro ditawarkan agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Langkah berani demi keluarga
Bagi Martinila Mat Akhir, 46, keputusan meninggalkan pekerjaan tetap untuk menumpukan perhatian kepada enam anak bukan perkara mudah. Namun, keinginan untuk membantu suami yang ketika itu bertugas sebagai anggota tentera mendorongnya menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan.
“Saya sudah berhenti kerja dan pada awalnya tidak tahu hendak buat apa di rumah. Akhirnya saya pilih berniaga supaya dapat bantu suami dan pada masa sama memantau anak-anak,” katanya.
Wanita itu memulakan perniagaan makanan sekitar 2007 dan mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan modal. Bagaimanapun, selepas mengetahui mengenai Skim Kredit Mikro Tekun, dia mendapat peluang memperkukuh semula perniagaannya.
“Sebelum kenal Tekun, saya pernah pinjam daripada kenalan untuk teruskan perniagaan. Tapi selepas dapat pembiayaan, saya mampu urus perniagaan dengan lebih baik,” katanya.

Kini, Martinila mengusahakan jualan air batu campur (ABC) di kawasan perumahannya yang menjana pendapatan sekitar RM500 sebulan, sekali gus membantu menampung perbelanjaan dua anak masih bersekolah.
“Duit belanja anak-anak tak pernah putus. Itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya lega.
Dari pinjaman kecil ke impian besar
Kisah kejayaan turut dikongsi Suriya Abdullah, 41, ibu kepada tiga anak yang menjalankan perniagaan sate menggunakan pinjaman mikro berjumlah RM3,000.

“Kalau nak kumpul modal sendiri memang lambat, jadi saya mohon pinjaman mikro. Dengan modal itu saya dapat tingkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya.
Kini, jumlah jualan yang dulunya hanya beberapa ratus cucuk sehari meningkat kepada 1,000 cucuk sehari, membolehkan wanita ini menambah pendapatan keluarga dan menyelesaikan komitmen hutang sedia ada.
“Alhamdulillah, pendapatan meningkat, hutang kereta dah habis bayar, dan kini kami sudah memiliki rumah sendiri,” katanya.
Latihan dan bimbingan berterusan
Sementara itu, Penyelaras Dapur Digital, Maznah Ebirahman, menyifatkan skim berkenaan sebagai antara inisiatif kerajaan paling berkesan dalam membantu wanita keluar daripada kesempitan hidup.

Katanya, ramai peserta bawah program Dapur Digital kini menikmati peningkatan pendapatan ketara hasil bimbingan dan pembiayaan tersebut.
“Dalam dua minggu sahaja ada yang boleh capai RM4,000. Bulan Ogos kami tak sangka dapat RM10,000 manakala September lebih RM8,000. Alhamdulillah, sangat puas hati,” katanya.
Maznah, 60, berkata inisiatif tersebut bukan sahaja menyediakan modal tetapi turut memberi latihan keusahawanan dan sokongan berterusan untuk memastikan peserta dapat berkembang secara mampan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan pinjaman kecil sebanyak RM3.2 bilion melalui Tekun, BSN dan Bank Negara (BNM) – peningkatan berbanding RM2.4 bilion tahun sebelumnya.
Langkah itu selaras usaha kerajaan memperkukuh ekosistem keusahawanan mikro serta memastikan golongan wanita khususnya suri rumah mendapat akses kepada peluang ekonomi yang inklusif.