
M Lavindran, 27; M Meganathan, 37; M Tinesh, 20; K Utayaragu, 29; M Thinesh, 31, S Jeevan, 19; J Sangaranarayanan, 28; P Joshua, 35; M Devindran, 25; M Nokarju, 29; S Tivagaran, 22; S Logeswaran, 26, dan D Vijayakumar, 36, ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Harian Metro melaporkan tiada pertuduhan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Hakim Ahmad Fuad Othman kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Captain Praba’ di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat pada Disember 2023 hingga 11 Sept lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, manakala 10 tertuduh diwakili peguam dan tiga lagi – Meganathan, Sangaranarayanan dan Vijayakumar tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Nov ini bagi serahan dokumen.
Terdahulu, hakim membenarkan permohonan peguam yang mewakili 10 tertuduh menemui ahli keluarga mereka di pekarangan mahkamah selama 10 minit. Perjumpaan itu dibuat dalam sel dengan hanya dua ahli keluarga dibenarkan masuk.
Media sebelum ini melaporkan polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang aktif melakukan kekerasan, pembunuhan dan samun selepas menahan 17 suspek dalam Op Jack Sparrow di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak pada 11 Sept lalu.
Kumpulan didalangi seorang lelaki tempatan itu turut dikesan merekrut remaja demi mengejar pengaruh kuasa dan keuntungan, dengan 80 kes jenayah dilakukan mereka setakat ini.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dilaporkan berkata, 17 suspek berusia 19 hingga 44 tahun ditahan kerana dipercayai antara kira-kira 30 ahli kumpulan diketuai seorang lelaki tempatan yang aktif sejak 2023.
Katanya, tangkapan itu membabitkan dua kumpulan berbeza yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan jenayah berkenaan.