
Beliau berkata, pakatan baharu dinamakan Gerakan Sabah Baharu akan menghimpunkan parti tempatan Sabah dan calon bertanding yang komited membentuk kerajaan Sabah berdasarkan wawasan “Sabah for Sabahan”.
Menurutnya, “ramai pemimpin” menyuarakan hasrat mereka menyertai pakatan itu.
Bekas timbalan pengerusi GRS itu berkata, STAR terbuka bekerjasama dengan parti dari Semenanjung Malaysia selepas PRN Sabah demi menjamin kestabilan politik.
“Walaupun berpegang kepada naratif ‘Sabah for Sabahan’, STAR tetap terbuka bekerjasama dengan parti persekutuan atau dari Semenanjung Malaysia selepas PRN17 demi kestabilan politik negara.
“Tetapi, kami tidak akan tunduk kepada arahan mereka. Sebarang bentuk kerjasama (dengan parti Semenanjung) akan berasaskan rasa hormat dan perkongsian tulen dalam kerangka Malaysia, tanpa mengorbankan hak serta autonomi Sabah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, pakatan baharunya akan bertanding PRU16 bagi memastikan Sabah mempunyai suara kuat di Parlimen.
Minggu lalu, Kitingan mengumumkan STAR meninggalkan GRS selepas menolak pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan yang disifatkannya bertentangan kehendak akar umbi mahu perwakilan tempatan.
Bagaimanapun, lima daripada enam Adun STAR memutuskan untuk terus menyokong GRS pada PRN Sabah.
Mereka ialah Timbalan Presiden STAR, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik serta Naib Presiden, Abidin Madingkir, Annuar Ayub dan Flovia Ng.
Semua lima pemimpin STAR itu dilaporkan akan memohon menyertai GRS supaya mereka boleh bertanding pada PRN Sabah atas tiket gabungan pemerintah.