
Menurut Bernama, Anwar berkata dasar kerajaan tegas tidak benarkan minuman keras dihidang pada acara rasmi.
“Penjelasan Motac adalah ini setelah selesai acara rasmi, tetapi tempat yang sama dan majlis yang sama.
“Kami telah memberi peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini, walaupun penjelasan ini bahawa program berakhir, tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya dalam video dimuat naik dalam akaun X Bernama.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bersatu Mas Ermieyati Samsudin memuat naik video di Facebook yang mempersoalkan mengapa minuman beralkohol dihidangkan pada acara kerajaan, sambil menyatakan perkara itu melanggar norma budaya dan perlembagaan.
Tiong menafikan minuman beralkohol dihidangkan pada majlis makan malam gala anjuran kerajaan, sambil menjelaskan ia sebenarnya dianjurkan rakan kongsi sektor swasta bagi meraikan acara pelancongan global pertama seumpamanya di Malaysia.
Walaupun Tourism Malaysia pada awalnya merupakan penganjur, beliau berkata pihak sektor swasta melihat wujud peluang untuk mendapatkan urus niaga perniagaan yang besar dan mengambil alih penganjuran majlis makan malam berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata beliau akan membangkitkan bantahan Umno terhadap penghidangan minuman beralkohol pada mesyuarat Kabinet akan datang.