
Hajiji berkata, keputusan itu dibuat selepas Yang di-Pertua Negeri Musa Aman memberikan perkenan untuk membubarkan DUN.
“Ini memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17, dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu.
Pengumuman hari ini menamatkan spekulasi berlarutan sejak beberapa minggu, memandangkan tempoh semasa DUN sepatutnya berakhir pada 11 Nov.
Ini bermakna Sabah akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, sepanjang lima tahun lalu, kerajaan yang ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bekerja gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan bermakna buat negeri dan rakyatnya.
“Melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif, kami telah menetapkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri pada September 2020.
“Berpandukan tiga tonggak utamanya – Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; dan Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, pelan hala tuju ini telah mencapai kemajuan yang sebenar.
“Kami mengambil langkah berani dan bertanggungjawab untuk menangani isu lama yang diwarisi terutamanya berkaitan bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kritikal,” katanya.
Menurut Hajiji, tindakan konkrit dan beberapa projek besar sedang dijalankan untuk menyelesaikan cabaran diwarisi yang telah membebankan rakyat sejak sekian lama.
“Beberapa inisiatif telah disiapkan, sementara sebahagian yang lain sedang berjalan untuk disiapkan,” katanya.
Dalam tempoh itu, pengerusi GRS berkata, Sabah telah mengukuhkan ekonominya, menarik pelaburan baharu untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meluaskan bantuan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan sosial semua lapisan masyarakat.
“Pencapaian ini adalah hasil kepercayaan, sokongan dan visi bersama rakyat untuk Sabah yang lebih baik,” katanya.
“Namun, kerja kita belum selesai. Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani, dan kita bersedia membawa Sabah ke lembaran seterusnya.
“Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan usaha yang telah kami mulakan membina Sabah yang lebih kukuh, lebih makmur dan bersatu untuk semua.”