
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berusia 48 tahun itu meninggal dunia 11 pagi tadi selepas sembilan hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kajang.
“Jenazah diserahkan kepada keluarga apabila proses bedah siasat selesai dijalankan. Ini menjadikan dua maut dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Dalam kejadian itu seorang bayi lelaki berusia setahun meninggal dunia ditempat kejadian manakala tujuh lagi individu cedera.
Kemalangan itu melibatkan sebuah lori yang dipercayai mengalami masalah brek, sebuah kereta dan dua kenderaan utiliti sukan.
Pemandu lori berusia 42 tahun itu direman hingga 1 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.